
sebuah Mesin Buang Hampas Padi (rice husk separator machine) sumbangan Tuan John Samud
BUGARON, KOTA BELUD – Program “Mirumo-Rumo” atau Ramah Mesra anjuran Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Cawangan Bugaron hari ini memperlihatkan penegasan baharu berkaitan perpaduan etnik di Kota Belud, khususnya antara komuniti Bajau dan Dusun Tindal yang sejak sekian lama menjadi teras hubungan sosial daerah tersebut.
Bakal Calon PKDM bagi PRN akan datang, Tuan John Samud, dalam ucapannya menegaskan bahawa kerjasama dua etnik utama itu bukan sekadar sejarah, tetapi warisan hidup yang perlu terus dipertahankan.
“Perpaduan Bajau dan Dusun Tindal bukan dibuat-buat. Ia lahir daripada cara hidup dan adat yang kita warisi. Sebab itu saya ingin tegaskan bahawa ‘Bajau dan Tindal Berpisah Tiada’. Ini bukan slogan, ini identiti Kota Belud,” ujar beliau.
Sebagai usaha melestarikan warisan budaya tempatan, beliau mencadangkan pembinaan “Rumah Tradisi”, sebuah pusat komuniti berfungsi sebagai:
ruang pembelajaran bahasa ibunda Bajau dan Dusun Tindal,
pusat latihan dan pameran seni tenunan tradisional,
galeri warisan seni bina & adat hidup,
institusi pemuliharaan budaya generasi muda.
Menurut beliau, persamaan dalam seni bina rumah tradisional kedua-dua etnik wajar dijadikan simbol perpaduan, bukan alasan untuk pemisahan sosial.
Selain menyampaikan gagasan dasar, Tuan John Samud turut memberikan sumbangan kepada penduduk berupa sebuah Mesin Buang Hampas Padi, satu bundle simen, dan beras, sebagai sokongan langsung kepada keperluan komuniti luar bandar.
Program itu turut dihadiri pimpinan PKDM setempat, ketua kampung, serta wakil komuniti Bajau dan Dusun Tindal dari sekitar Bugaron.
