Kota Kinabalu, 18 Oktober 2025:
Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) menyambut baik keputusan bersejarah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) dalam kes tuntutan pelaksanaan hak 40% hasil bersih Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Naib Presiden PERPADUAN, Melipan @ Muhammad Zakaria bin Rumansa, menegaskan bahawa keputusan tersebut membuktikan hak Sabah adalah sah di sisi Perlembagaan dan tidak boleh dirunding semula, apatah lagi ditentukan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC).


“Keputusan ini adalah penegasan undang-undang yang menutup ruang manipulasi politik terhadap hak Sabah. Tidak ada keperluan untuk mana-mana pihak di Sabah merayu kepada AGC. Hak 40% ini bukan hasil budi bicara ia adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” tegas beliau. AGC Tidak Layak Menjadi Penentu Hak Negeri


Melipan menegaskan bahawa AGC hanyalah penasihat undang-undang kepada Kerajaan Persekutuan, bukan badan yang mempunyai kuasa menentukan pelaksanaan hak hasil negeri.


“Peranan AGC bukan untuk meluluskan hak negeri, tetapi untuk menasihati Kerajaan Persekutuan supaya mematuhi undang-undang. Rayuan kepada AGC hanyalah taktik politik untuk melengahkan pelaksanaan hak 40% yang telah diputuskan oleh mahkamah,” katanya.


Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Warta Pemberian Khas 2022 sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan menunjukkan bahawa sebarang perjanjian yang menurunkan nilai hak 40% kepada jumlah tetap tahunan adalah bertentangan dengan undang-undang dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


PERPADUAN Seru Ketegasan Politik Sabah
Naib Presiden PERPADUAN menyeru Kerajaan Negeri Sabah untuk bertindak dengan ketegasan politik dan keberanian moral dalam mempertahankan hak ekonomi negeri, bukan sekadar menunggu keputusan atau belas ihsan dari Putrajaya.


“Kita tidak boleh terus menjadi penonton dalam rumah sendiri. Mahkamah sudah buat keputusan yang jelas sekarang tiba masanya Sabah menuntut pelaksanaan. Hak 40% bukan hadiah, tetapi hak yang diwariskan melalui Perlembagaan,” ujarnya lagi.


Beliau menambah bahawa rakyat Sabah kini semakin sedar tentang hak mereka dan tidak akan menerima sebarang alasan yang melemahkan kedaulatan ekonomi negeri.


Isyarat Tegas Kepada Kerajaan Persekutuan
Melipan menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan perlu menghormati keputusan mahkamah dan melaksanakan hak 40% hasil bersih Sabah tanpa sebarang penangguhan.


“Jika Kerajaan Persekutuan benar-benar menghormati undang-undang dan semangat MA63, maka mereka perlu melaksanakan keputusan ini dengan segera. Tidak perlu lagi rundingan tertutup atau penangguhan atas nama kajian teknikal. Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan,” katanya.


Kesimpulannya, PERPADUAN menyifatkan keputusan mahkamah ini sebagai kemenangan rakyat Sabah dalam menegakkan kedaulatan ekonomi negeri dan prinsip rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.
Melipan menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak Sabah bukanlah isu politik partisan, tetapi isu maruah dan kedaulatan negeri.


“Ini bukan perjuangan parti atau individu ini perjuangan rakyat Sabah seluruhnya. Kita harus berdiri teguh mempertahankan hak ini dengan perpaduan dan keberanian,” jelas beliau mengakhiri kenyataannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *