
KOTA KINABALU, 13 Oktober 2025 —
Sabah dijangka sukar menyelesaikan tiga isu utama yang sekian lama membelenggu rakyat bekalan air bersih, rangkaian jalan raya dan bekalan elektrik dalam tempoh swpuluh tahun akan datang sekiranya tadbir urus negeri tidak diperbetulkan dan kebergantungan kepada Kerajaan Persekutuan masih berterusan.
Pemerhati politik berpendapat, antara faktor utama yang mengekang kemajuan negeri ialah kepimpinan yang terpalit dengan skandal rasuah serta kekurangan kuasa autonomi dalam mengurus hasil dan sumber negeri.
“Sabah tidak akan mampu menyelesaikan isu tiga serangkai ini selagi kuasa penuh terhadap sumber negeri tidak dikembalikan kepada rakyat Sabah sendiri. Masalah ini bukan hanya soal kecekapan teknikal, tetapi juga berkait rapat dengan integriti dan kebertanggungjawaban kepimpinan,” menurut kenyataan yang diterima The Borneo Report hari ini.
Beberapa pihak turut menyeru agar dasar pembangunan Sabah dikaji semula dengan memberi penekanan kepada ketelusan pelaksanaan projek serta pemerkasaan agensi tempatan supaya dapat melaksanakan perancangan tanpa campur tangan politik.
Penganalisis turut menjelaskan bahawa penyelesaian jangka panjang memerlukan perubahan struktur pentadbiran, termasuk reformasi dalam pengurusan sumber tenaga, air, dan peruntukan jalan di bawah kuasa negeri.
The Borneo Report akan terus meneliti perkembangan berkaitan isu infrastruktur asas ini, yang kekal menjadi antara cabaran utama bagi kesejahteraan rakyat Sabah.
