
PRN ke-17 dijangka menyaksikan pertembungan tiga nama besar politik Kota Belud di kerusi Usukan – satu gelanggang panas antara pengaruh Parlimen, kekuatan akar umbi, dan kuasa tokoh veteran.
KOTA BELUD | THE BORNEO REPORT – Desas-desus politik semakin memuncak di Kota Belud apabila tersebar luas khabar bahawa Ahli Parlimen Kota Belud, YB Isnaraissah Munirah Majilis, bakal menjejakkan kaki ke gelanggang DUN Usukan dalam PRN ke-17 akan datang.
Namun, laluan beliau dijangka penuh ranjau. Dua nama besar disebut-sebut sebagai pencabar utama: Japlin Akim dari GRS, yang dikenali dengan pengaruh akar umbinya, serta bekas Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Seri Salleh Said Keruak dari Barisan Nasional (BN), yang memiliki rangkaian politik luas dan rekod kepimpinan berdekad lamanya.
Penganalisis politik menyifatkan senario ini sebagai “pertembungan kelas berat” yang jarang berlaku di Sabah. Dengan tiga tokoh berprofil tinggi bertarung di kerusi sama, Usukan dijangka menjadi kerusi paling panas di PRN kali ini bahkan ada yang menggelarnya sebagai gelanggang politik berdarah.
“Isnaraissah membawa kekuatan mandat Parlimen, Japlin menampilkan kekuatan akar umbi, sementara Salleh pula mewakili warisan politik dan pengalaman lama. Gabungan ini bakal menjadikan Usukan tumpuan nasional,” kata seorang pemerhati politik tempatan.
Apa pun keputusannya, satu perkara sudah jelas, pertarungan di DUN Usukan bakal menggegarkan peta politik Kota Belud, malah mampu memberi kesan besar terhadap keseimbangan kuasa politik Sabah pasca PRN.