
Kota Belud, 29 September – Calon Parti KDM bagi DUN Tempasuk, John Samud, meneruskan siri kunjungan mesra masyarakat setempat melalui program “Mirumo-rumo” dengan mengadakan lawatan ke jemaat SIB Nayasan di kawasan Bangkahak, Kota Belud.
Dalam kunjungan tersebut, John turut menyampaikan sumbangan kasih sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap jemaat setempat. Kawasan Bangkahak SIB ini terdiri daripada 14 buah gereja SIB yang menjadi nadi rohani serta pengikat komuniti di kawasan tersebut.
Menurut John, inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmennya untuk terus dekat dengan masyarakat akar umbi dan mendengar sendiri aspirasi mereka.
“Saya percaya kekuatan masyarakat bermula dari akar umbi. Sumbangan kecil ini adalah simbol kasih, semangat kebersamaan dan penghargaan kepada jemaat yang sentiasa berperanan penting dalam membina keharmonian di kawasan ini,” katanya.
Program “Mirumo-rumo” yang dilaksanakan John Samud sebelum ini turut menjelajah ke beberapa kampung lain di Tempasuk, menzahirkan pendekatan politik mesra rakyat yang menekankan nilai kekeluargaan, budaya, dan kerohanian.