
KOTA BELUD – Rakyat Sabah, khususnya para ahli Jawatankuasa Kemajuan Desa dan Mukim (JKDM), terus menunggu bayaran elaun yang dijanjikan. Malangnya, sehingga kini janji itu masih tinggal janji.
Ironinya, ketika rakyat menunggu hak mereka, Barisan Nasional (BN) dan UMNO hadir di Kota Belud sempena program RISDA dengan retorik lama: menjanjikan “bulan dan bintang” kepada masyarakat.
Naib Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN), Muhammad Zakaria @ Melipan Bin Rumansa, berkata fenomena ini tidak lagi mengejutkan rakyat kerana sudah terlalu kerap berulang.
“Elaun yang dijanjikan masih belum terbayar. Tetapi di pentas politik, janji manis terus ditabur. Sampai bila rakyat harus dipermainkan dengan kata-kata kosong tanpa bukti tindakan?” soal beliau.
Beliau menegaskan, rakyat Sabah kini semakin matang dan tidak mudah dipermainkan dengan gula-gula politik. Apa yang mereka mahu adalah kerajaan yang berintegriti, menepati janji, dan benar-benar membela kepentingan rakyat di akar umbi.
“Rakyat sudah jemu. Mereka menuntut tindakan segera, bukan sekadar ucapan indah yang berulang setiap kali ada program besar atau musim pilihan raya,” tambahnya.
The Borneo Report melihat isu ini sebagai gambaran jelas bahawa kepercayaan rakyat tidak boleh lagi dipermainkan. Sudah tiba masanya pemimpin berhenti menjanjikan bulan dan bintang di langit, sedangkan rakyat Sabah masih terkapai-kapai mencari keadilan di bumi sendiri.