
Muhammad Zakaria @ Melipan Bin Rumansa
Kota Belud, 27 September 2025 – Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) memandang serius tindakan menjadikan Program RISDA sebagai pentas ucapan politik. Perbuatan seperti ini bukan sahaja tidak beretika, malah mencemar nama baik agensi kerajaan yang sepatutnya berdiri berkecuali dalam menyampaikan khidmat kepada rakyat.
RISDA ditubuhkan untuk membela pekebun kecil, mengukuhkan ekonomi desa dan meningkatkan pendapatan luar bandar. Namun, apabila pentas rasmi agensi digunakan untuk agenda politik, fokus asal kepada pembangunan rakyat terpinggir.
“Rakyat hadir untuk mendengar tentang bantuan, peluang dan dasar kerajaan bukan untuk dipaksa mendengar retorik politik. Jika RISDA terus dijadikan alat kempen, kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan akan terhakis,” tegas Naib Presiden PERPADUAN, Muhammad Zakaria @ Melipan Rumansa.
PERPADUAN menegaskan bahawa setiap pemimpin berhak berkempen, tetapi salurannya mestilah di pentas politik, bukan di pentas kerajaan. Mengaburkan sempadan ini hanya menghidupkan semula budaya lama politik murahan yang menggunakan pembangunan sebagai kosmetik untuk menutup kelemahan kepimpinan.
Rakyat Sabah kini semakin matang. Mereka tahu membezakan antara program pembangunan tulen dengan propaganda politik berselindung. Tindakan menggunakan nama agensi untuk menampal kegagalan sendiri adalah tanda pemimpin kehabisan idea, bukan kepimpinan sebenar.
PERPADUAN menyeru agar semua agensi kerajaan kembali fokus kepada mandat asal berkhidmat kepada rakyat tanpa dikotori oleh kepentingan politik mana-mana pihak.