
Tempasuk, 15 September – Gerakan PKDM di bawah Penyelaras John Samud semakin mendapat perhatian, khususnya di kawasan pengundi Bajau. Gelombang sokongan ini membuktikan rakyat Tempasuk sudah bersedia menolak retorik kosong yang sekian lama membelenggu politik Sabah.
John Samud tampil dengan suara lantang, menyeru agar rakyat kembali kepada perjuangan yang berpaksikan maruah, integriti, dan masa depan Sabah. Beliau menegaskan, rakyat sudah penat dengan politik lama yang penuh janji manis, tetapi gagal mengangkat kehidupan masyarakat di akar umbi.
“Rakyat tidak mahu lagi ditipu dengan cakap kosong. Kita mahu tindakan, kita mahu perubahan, dan kita mahu Sabah yang bermaruah!” tegas John Samud ketika ditemui selepas satu perjumpaan bersama masyarakat Bajau di Tempasuk.
Gerakan ini memperlihatkan bagaimana PKDM muncul sebagai platform alternatif, mengisi ruang yang selama ini dikuasai oleh status quo. Kehadiran PKDM membawa semangat kesatuan tanpa mengira bangsa, agama, atau budaya demi mengembalikan martabat rakyat Sabah.
The Borneo Report menilai kebangkitan PKDM di Tempasuk sebagai isyarat awal gelombang lebih besar yang bakal merubah landskap politik negeri. Rakyat semakin berani bersuara, menolak kepura-puraan dan menuntut kejujuran dalam perjuangan.