
KOTA BELUD, 11 Sept – Mahkamah Koroner hari ini dimaklumkan bahawa sehari sebelum ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, pelajar tingkatan satu, pernah dituduh mencuri sejumlah wang tunai.
Difahamkan, arwah juga berkemungkinan telah dibawa menghadiri satu perjumpaan tidak rasmi dikenali sebagai “MA” selepas aduan tersebut disampaikan kepada pelajar senior tingkatan empat.
Saksi keenam, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan asrama, berkata pada 15 Julai sekitar jam 8 malam, seorang pelajar perempuan mengadu kehilangan wang tunai sebanyak RM300 bersama kad banknya.
Menurut Linah, pelajar berkenaan menuduh Zara sebagai individu yang bertanggungjawab dan perkara itu turut dimaklumkan kepada pelajar tingkatan empat lain yang bertindak sebagai penjaga asrama.