
KOTA BELUD, 12 September 2025 – Selepas beberapa insiden maut termasuk kes lemas dan kemalangan lori yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal, akhirnya sebuah AJK Bertindak terpaksa ditubuhkan oleh Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) di bawah pimpinan Yang Berbahagia Tuan Presiden, Jack Giau.
Sehingga kini, jawatankuasa ini telah bermesyuarat dua kali, membincangkan masalah yang sebenarnya bukan baharu, tetapi sudah lama berlarutan:
Jalan raya yang rosak teruk hingga mengundang maut.
Aktiviti pencurian batu dan pasir secara haram yang dibiarkan berleluasa.
Persoalannya, di mana tindakan pihak berkuasa selama ini? Sampai bila rakyat Pintasan dan Kota Belud perlu menunggu sehingga ada korban baharu sebelum tindakan diambil?
PERPADUAN bersama NGO setempat kini menggesa agar semua masalah daripada infrastruktur rosak, isu keselamatan, hinggalah jenayah terancang disusun dan didedahkan secara terbuka, supaya pihak berwajib tidak lagi boleh berdolak-dalik atau menyapu isu ini ke bawah karpet.
The Borneo Report berpandangan, cukup sudah alasan. Nyawa rakyat tidak boleh dijadikan bahan ujikaji kelemahan pentadbiran. Tindakan segera mesti diambil, bukan sekadar janji manis di atas kertas.