Kota Kinabalu, 5 Sept – Rundingan pembahagian kerusi antara BN dan GRS menjelang PRN Sabah terus mencetuskan tanda tanya tentang keikhlasan parti-parti besar dalam meletakkan kepentingan rakyat mengatasi perebutan kuasa.

BN menegaskan prinsip incumbency rule kerusi yang dimenangi kekal pada parti asal dan swap rule untuk kerusi bertindih. Prinsip ini digambarkan sebagai “adil dan logik”. Namun realitinya, dengan PH, rundingan berjalan lancar kerana kedua-dua pihak mahu mengekalkan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan. Tetapi dengan GRS, BN menolak tawaran hanya 8 kerusi daripada 14 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu, sekali gus mencetuskan ketegangan.

Naib Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN), Muhammad Zakaria @ Melipan Bin Rumansa, menyifatkan keadaan ini sebagai bukti jelas hipokrasi politik.

“Rundingan BN–GRS ini adalah satu hipokrasi politik. Prinsip hanya dipertahankan bila menguntungkan, tapi diketepikan bila merugikan. Rakyat Sabah bukan barang dagangan politik kita perlukan kepimpinan yang ikhlas, berintegriti dan benar-benar membela kepentingan negeri,” tegas beliau.

Menurut beliau lagi, apa yang berlaku mendedahkan realiti bahawa rundingan bukan berasaskan agenda rakyat, sebaliknya hanya perebutan kerusi dan kuasa.

“Sabah tidak perlukan drama kerusi yang melelahkan. Apa yang kita perlukan ialah agenda pembangunan, keadilan sosial, dan integriti dalam kepimpinan,” ujarnya.

The Borneo Report berpandangan bahawa krisis rundingan ini memberi isyarat jelas kepada rakyat Sabah untuk menilai semula siapa sebenarnya berjuang demi negeri, dan siapa sekadar memperdagangkan kepentingan rakyat demi kelangsungan politik parti masing-masing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *