
KOTA KINABALU – Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) bakal menjadi garis pemisah penting dalam politik Sabah. Kali ini, rakyat bukan sekadar memilih wakil, tetapi menentukan wajah kepimpinan serta hala tuju Wilayah Sabah untuk lima tahun mendatang.
Ketika pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus dibayangi skandal rasuah, keyakinan rakyat semakin terhakis. Di sisi lain, Warisan pula masih berdepan sindrom “Sempornaliasasi” yang dilihat menguasai struktur kuasa parti, sekali gus mencetuskan rasa kurang senang di kalangan daerah lain.
Dalam keadaan itu, muncul persoalan besar: Adakah rakyat Sabah bersedia memberikan mandat kepada parti-parti lokal sebagai alternatif baharu?
Isyarat jelas kelihatan pengundi kini lebih matang, lebih lantang menuntut kepimpinan bersih, bebas daripada pengaruh luar, serta benar-benar mengangkat hak Sabah sebagai equal partner dalam Persekutuan.
PRN-17 bukan lagi sekadar soal angka kerusi, tetapi referendum sama ada Sabah mahu terus dikongkong oleh skandal dan politik sempit, atau bangkit dengan wajah politik baharu yang berintegriti.