
Kota Kinabalu, 31 Ogos 2025 — Menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17, desas-desus semakin kencang bahawa barisan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan semata-mata hasil rundingan dalaman, sebaliknya turut “diukur dan ditimbang” oleh kuasa luar.
Walaupun GRS berulang kali menegaskan bahawa mereka bebas menentukan calonnya, pemerhati politik melihat keadaan sebaliknya. “Apabila masih ada isu integriti yang belum selesai, apabila wujud cakap-cakap tentang rakaman dan bukti yang berada di tangan pusat, maka rakyat berhak bertanya: siapakah sebenarnya yang memegang pen dan kertas akhir untuk senarai calon?” kata seorang penganalisis politik tempatan.
Beberapa pemerhati turut menyindir bahawa calon GRS hari ini seolah-olah hidup dalam dua ketakutan: pertama, takut kehilangan kerusi; kedua, takut bayangan rakaman yang bila-bila masa boleh dimainkan. Situasi ini, menurut mereka, hanya akan melemahkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan GRS.
Rakyat Sabah kini berdepan pilihan yang besar sama ada menerima calon yang mungkin ditentukan oleh “fail di Putrajaya”, atau memilih calon bebas yang benar-benar lahir dari suara akar umbi.
“Persoalannya mudah,” ujar seorang aktivis masyarakat, “apakah rakyat Sabah mahu terus dipimpin oleh calon yang dibayangi Malaya, atau berani memilih pemimpin yang berdiri atas kekuatan sendiri?”