
Tempasuk, 31 Ogos 2025 — Calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) bagi DUN N.9 Tempasuk, John Samud, hadir sebagai tetamu terhormat dalam Program Sambutan Hari Kebangsaan yang dianjurkan di Kg. Bugaron.
Program ini diisi dengan pelbagai aktiviti sukan rakyat dan pertandingan berbentuk kekeluargaan yang bertujuan mempereratkan silaturahim serta mengukuhkan semangat perpaduan masyarakat setempat. Kehadiran John Samud disambut mesra oleh penduduk yang bersama-sama menjayakan acara penuh makna tersebut.
Dalam satu kenyataannya kepada media, John Samud menegaskan bahawa nilai kebersamaan dan semangat muhibah yang dizahirkan dalam sambutan Hari Kebangsaan perlu terus diperkukuh.
“Hari Kebangsaan adalah saat kita menilai erti kemerdekaan, tetapi lebih penting lagi ia mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar masyarakat terletak pada perpaduan dan keharmonian. Inilah asas yang akan memastikan Tempasuk terus berkembang dengan lebih baik,” katanya.