
Pintasan, 31 ogos — Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) menegaskan komitmen untuk menyelesaikan masalah asas rakyat di DUN Pintasan, khususnya isu bekalan air bersih dan bekalan elektrik stabil yang masih berulang sejak sekian lama.
Ketua Penerangan PERPADUAN DUN N.8 Pintasan, Julaini Rosmin (Santiah) berkata, masyarakat sudah terlalu lama dipinggirkan dan hanya diberikan janji manis setiap kali pilihan raya tanpa sebarang penyelesaian tuntas.
“Air bersih dan elektrik stabil adalah hak rakyat. Malangnya, di Pintasan masalah ini seolah-olah tiada penghujung. PERPADUAN hadir bukan untuk menjual janji kosong, tetapi untuk membawa tindakan nyata dengan prinsip telus, tanpa kronisme dan nepotisme,” tegas Julaini.
Beliau menambah, penyelesaian isu asas ini akan membuka ruang lebih luas untuk pembangunan ekonomi, pendidikan, dan kesejahteraan rakyat setempat.
“Bagaimana mahu bercakap tentang kemajuan kalau bekalan air dan elektrik pun masih bermasalah? PERPADUAN percaya hanya kepimpinan bersih dan berintegriti boleh membawa perubahan sebenar kepada masyarakat Pintasan,” katanya lagi.
PERPADUAN menyeru seluruh pengundi Pintasan supaya berani membuat perubahan dalam PRN-17 yang akan datang, dan memberi mandat kepada parti baharu ini untuk memperjuangkan hak rakyat dengan keberanian, integriti dan tindakan nyata.