KUALA LUMPUR – Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) berpandangan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 tidak wajar dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa penambahbaikan menyeluruh.

RUU ini, walaupun digambarkan sebagai langkah ke arah pembangunan bandar yang moden dan tersusun, tetap menimbulkan kebimbangan besar kerana berpotensi mengorbankan hak asasi rakyat, jaminan kediaman, serta keyakinan masyarakat terhadap kedaulatan undang-undang.

Bagi Sabah khususnya, kami menegaskan bahawa pembangunan bandar tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan kepentingan masyarakat pedalaman. Pembaharuan mesti bersifat inklusif, mengambil kira realiti hidup rakyat di luar bandar, serta memastikan suara komuniti akar umbi tidak diketepikan dalam proses perancangan.

PERPADUAN menuntut supaya kerajaan:

1. Melibatkan masyarakat sivil, NGO dan komuniti tempatan dalam sesi libat urus terbuka sebelum sebarang penggubalan undang-undang dimuktamadkan.

2. Menjamin perlindungan hak kediaman rakyat, termasuk golongan miskin bandar dan penduduk desa, agar tidak menjadi mangsa pengusiran atau pembangunan rakus.

3. Mengimbangi agenda urbanisasi dengan pembangunan pedalaman, supaya jurang bandar-desa tidak melebar.

Sebagai sebuah gerakan politik rakyat, PERPADUAN percaya bahawa undang-undang hanya bermakna jika ia membawa keadilan, melindungi semua lapisan masyarakat, dan mengangkat martabat rakyat bukan sekadar melayani kepentingan kapital atau pembangunan bersifat kosmetik.

“Pembaharuan bandar boleh diteruskan, tetapi masyarakat pedalaman tidak boleh terabai.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *