KOTA KINABALU, 26 OGOS: The Borneo Report memandang serius penahanan seorang pegawai kanan dalam kalangan “Top 5” pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bersama dua kontraktor, oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Kes ini membongkar bagaimana rasuah yang didakwa bermula sejak tahun 2014 terus berakar dalam sistem perolehan kerajaan tempatan, khususnya melibatkan projek teknologi maklumat (IT). Rampasan wang tunai, kenderaan mewah, barangan berjenama serta pembekuan akaun jutaan ringgit membuktikan wujudnya kitaran rasuah yang bukan kecil-kecilan, tetapi sistematik.

Persoalan utama kini ialah, bagaimana seorang pegawai tertinggi DBKL boleh terlibat dalam rasuah selama lebih satu dekad tanpa dikesan? Di manakah keberkesanan sistem audit dalaman, pemantauan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, serta pengawasan badan integriti kerajaan?

Rakyat berhak bertanya adakah tindakan hanya akan diambil apabila kes sudah terbongkar, sedangkan amalan “tajam ke bawah, tumpul ke atas” terus berulang dalam agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan?

The Borneo Report menegaskan bahawa kes ini bukan sekadar isu individu, tetapi kegagalan struktur dalam tadbir urus awam. Untuk memulihkan keyakinan rakyat, langkah-langkah berikut mesti segera diambil:

1. Audit forensik bebas terhadap semua projek IT dan perolehan besar DBKL sejak 2010.

2. Pengisytiharan harta wajib oleh semua pegawai kanan PBT di seluruh negara.

3. Pengawasan rakyat melalui jawatankuasa bebas yang melibatkan NGO, akademik dan media untuk menilai ketelusan projek.

Tanpa reformasi menyeluruh, kes ini hanya akan menjadi satu lagi episod dalam sejarah panjang skandal rasuah di negara kita.

The Borneo Report akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang demi memastikan integriti, ketelusan, dan akauntabiliti ditegakkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *