KOTA BELUD, 24 Ogos – Isu buli dalam kalangan pelajar terus menjadi perhatian masyarakat apabila wujud gesaan agar pihak sekolah, kolej dan universiti menilai semula kaedah pelaksanaan minggu orientasi.

Menurut aktivis masyarakat, Julaini Bin Hj Rosmin @ Santiah, budaya buli kerap kali bermula sejak peringkat awal kemasukan pelajar baharu.

“Hentikan Buli! Termasuklah amalan dalam minggu orientasi yang sering dikendalikan oleh senior. Di situlah sebenarnya akar kepada budaya buli mula bercambah,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa orientasi sepatutnya menjadi ruang bimbingan, motivasi dan pengenalan suasana pembelajaran, bukannya ruang untuk menanam rasa takut, memperlekeh atau menindas pelajar baharu.

Cadangan Dasar dan Penyelesaian:

1. Orientasi Mesra & Selamat.Semua institusi pendidikan digesa menyediakan modul orientasi berasaskan mentoring dan bimbingan, bukan berbentuk kawalan ketat atau hukuman.

2. Polisi Anti-Buli Diperketat. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menguatkuasakan garis panduan anti-buli yang jelas, termasuk menilai semula aktiviti orientasi yang memberi ruang kepada “buli berstruktur.”

3. Latihan Kepimpinan Senior.Pelajar senior yang terlibat dalam orientasi perlu dilatih sebagai fasilitator profesional, bukan pengawas yang menggunakan pendekatan menekan.

4. Saluran Aduan Sulit.Institusi perlu menyediakan mekanisme aduan sulit agar pelajar berani melapor tanpa takut dikenakan tindakan balas.

5. Kerjasama Komuniti & PIBG.Ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa perlu dilibatkan secara aktif dalam memantau keberkesanan polisi anti-buli.

The Borneo Report berpandangan bahawa semua pihak sama ada institusi pendidikan, ibu bapa, pelajar mahupun pihak berkuasa harus lebih serius dalam menangani isu ini. Budaya buli tidak boleh lagi dianggap “tradisi” atau “main-main”, kerana ia boleh membawa kesan trauma yang berpanjangan, malah meragut nyawa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *