
Kota Kinabalu, 21 Ogos: Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) mengambil maklum berhubung dakwaan peningkatan mendadak jumlah pengundi di beberapa kawasan Sabah, termasuk laporan yang menyebut kewujudan puluhan ribu pengundi baharu yang dikaitkan dengan masyarakat India dan Pakistan, khususnya di kawasan Kudat.
Dakwaan ini telah menimbulkan keraguan yang serius dalam kalangan rakyat Sabah terhadap ketelusan daftar pemilih serta integriti proses pilihan raya di negeri ini.
PERPADUAN menegaskan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh berdiam diri, sebaliknya wajib tampil dengan penjelasan rasmi, telus dan meyakinkan bagi menjawab persoalan yang timbul. Keyakinan rakyat terhadap pilihan raya bergantung sepenuhnya pada daftar pemilih yang bersih.
PERPADUAN menuntut supaya SPR:
1. Melakukan pembersihan menyeluruh daftar pemilih di Sabah, dengan meneliti nama-nama yang diragui kesahihannya.
2. Menjelaskan secara terbuka punca peningkatan mendadak jumlah pengundi, khususnya yang dikaitkan dengan dakwaan melibatkan pengundi India dan Pakistan.
3. Memastikan hanya warganegara Malaysia yang sah disenaraikan dalam daftar pemilih, selaras dengan peruntukan undang-undang negara.
Sabah pernah berdepan sejarah hitam apabila daftar pemilih dipertikaikan pada masa lalu. Adalah menjadi tanggungjawab SPR untuk mengelakkan keraguan yang sama berulang, demi menjaga maruah dan integriti proses demokrasi.
PERPADUAN menegaskan pilihan raya yang adil hanya boleh dicapai sekiranya daftar pemilih benar-benar bersih, telus dan diyakini rakyat.
