
KOTA KINABALU, 20 Ogos – Pertemuan “mesra” antara Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, baru-baru ini dipromosikan sebagai lambang kestabilan politik negara. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyifatkan gabungan BN–PH–GRS sebagai asas kepada “Malaysia Madani yang stabil”.
Namun, pemerhati politik melihat naratif ini sebagai kestabilan palsu. Hakikatnya, skandal rasuah yang melibatkan pemimpin elit masih menghantui, sementara kes-kes besar didiamkan. Rakyat melihat sendiri bagaimana isu integriti dipinggirkan demi kepentingan kuasa.
Seorang penganalisis politik tempatan yang dihubungi The Borneo Report menyatakan:
“Apa gunanya kestabilan politik jika rakyat tidak merasa keadilan? Kerjasama elit hanya menjaga jawatan mereka, bukan kebajikan rakyat. Sabah tidak perlukan pakatan elit yang rapuh, Sabah perlukan suara rakyat yang bersatu.”
Di kalangan akar umbi, muncul gelombang baharu yang menolak BN, PH dan GRS. Mereka berpendapat hanya kerjasama rakyat solidariti masyarakat untuk bangkit menolak parti-parti lama ini di peti undi mampu membawa reformasi sebenar.
Kerjasama elit mungkin mampu meredakan perebutan kuasa sesama mereka, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah kemiskinan, pembangunan terbantut dan pengangguran di Sabah.
Suara rakyat kini semakin lantang:
“Kami tidak perlukan kestabilan yang menutup skandal.”
“Kami mahukan pemimpin yang bersih, berani dan berpihak kepada rakyat.”
“Kerjasama rakyat lebih penting daripada kerjasama elit.”
The Borneo Report melihat gelombang ini sebagai isyarat jelas bahawa rakyat Sabah sudah muak dipermainkan. Pilihan Raya Negeri akan datang mungkin menjadi medan sebenar untuk membuktikan bahawa kuasa rakyat lebih besar daripada sebarang pakatan elit politik.
