
KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Peguam terkemuka, Datuk Ram Singh, menegaskan beliau menawarkan khidmat guaman secara pro bono (percuma) dalam kes kematian tragis pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, demi memastikan proses undang-undang berjalan mengikut prinsip keadilan.
Beliau menolak persepsi awam yang mengaitkan pembelaannya dengan pengaruh keluarga berstatus tinggi.
“Saya tegaskan, tertuduh yang saya wakili bukan anak kepada mana-mana VVIP. Semua orang berhak mendapat pembelaan di mahkamah, tanpa mengira latar belakang,” katanya kepada media.
Dalam masa sama, barisan peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina sebelum ini menyatakan harapan agar pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Kes ini masih dalam proses perbicaraan dan keputusan muktamad akan ditentukan oleh mahkamah.
The Borneo Report akan terus mengikuti rapat perkembangan kes ini bagi memastikan suara rakyat dan tuntutan keluarga arwah mendapat perhatian sewajarnya.
