
Kota Kinabalu, 19 Ogos: Naib Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN), Muhammad Zakaria @ Melipan Bin Rumansa, menyifatkan kenyataan Bung Moktar Radin kononnya UMNO-BN mampu mengembalikan maruah Sabah hanyalah mimpi lama yang diulang-ulang tanpa bukti nyata.
Beliau berkata, UMNO-BN telah memegang kuasa puluhan tahun di Sabah, namun rakyat Masin dibebani dengan masalah asas, air bersih yang tidak menentu, jalan raya yang rosak, elektrik terputus-putus serta kadar kemiskinan yang kekal tertinggi di Malaysia.
“Bung Moktar sudah berdekad-dekad menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan. Kalau benar beliau dan UMNO-BN ikhlas serta berpengalaman, mengapa kawasan beliau sendiri masih jauh ketinggalan? Tidakkah pelik bila setelah berpuluh tahun berkuasa, baru hari ini beliau bercakap soal ‘mengembalikan maruah’ Sabah?” soal Muhammad Zakaria @ Melipan.
Menurut beliau lagi, rakyat Sabah tidak boleh terus diperbodohkan dengan nostalgia zaman BN yang kononnya berjasa, sedangkan realitinya masalah rakyat dibiarkan berpanjangan.
“Cukuplah menjual janji lama dengan bungkusan baharu. Sabah perlukan pemimpin berintegriti yang benar-benar bekerja untuk rakyat, bukan pemimpin yang hanya pandai berceramah sambil dibuai mimpi indah,” tegas beliau.
