
KOTA KINABALU, 19 Ogos: Ungkapan “Dulu prinsip, kini strategi” yang tular melalui posting penyokong USNO di Facebook dianggap sebagai mesej politik yang boleh merosakkan imej parti berkenaan, menurut beberapa penganalisis politik tempatan.
Menurut mereka, kenyataan itu memberi gambaran bahawa prinsip perjuangan boleh digadaikan demi percaturan strategi pilihan raya, sesuatu yang boleh menjejaskan keyakinan pengundi terhadap kesungguhan sesebuah parti mempertahankan janji dan integriti.
“Dalam politik, strategi memang perlu, tetapi ia tidak boleh menggantikan prinsip. Strategi tanpa prinsip hanya akan dilihat sebagai permainan kuasa. Pengundi hari ini semakin bijak dan kenyataan sebegini boleh memakan diri,” jelas seorang penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika dihubungi The Borneo Report.
Seorang lagi penganalisis bebas menambah, ungkapan tersebut membuka ruang serangan mudah kepada parti lawan.
“Parti lawan boleh menggunakan kenyataan itu untuk menuduh USNO tidak konsisten dalam perjuangan. Dalam suasana politik Sabah yang penuh persaingan, imej berprinsip adalah aset penting. Bila prinsip dipersoalkan, keyakinan rakyat boleh goyah,” katanya.
Isu ini dijangka terus diperdebatkan menjelang Pilihan Raya Negeri, malah boleh menjadi penentu arah sokongan terutama dalam kalangan pengundi muda yang lebih kritikal terhadap isu integriti dan konsistensi politik.
