
KUALA LUMPUR, 19 Ogos: Barisan peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menggesa pihak pendakwaan menimbang semula pertuduhan terhadap beberapa suspek kes buli pelajar itu agar dibuat di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Peguam Hamid Ismail berkata, pihaknya menyambut baik keputusan mendakwa suspek, namun menegaskan seksyen yang digunakan ketika ini Seksyen 507C(2) hanya memperuntukkan hukuman maksimum setahun penjara.
“Kami difahamkan semua suspek akan didakwa Isnin ini di bawah Seksyen 507C(2). Namun, kami berharap sekiranya pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 507D(2), ia akan memberi mesej lebih tegas serta hukuman lebih berat,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur.
Barisan peguam keluarga Zara terdiri daripada Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Menurut Hamid, identiti tertuduh masih belum diumumkan, namun difahamkan semua suspek adalah pelajar perempuan.
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menjelaskan keputusan mendakwa dibuat selepas penelitian lengkap terhadap kertas siasatan yang dirujuk Polis Diraja Malaysia.
Kes kematian Zara Qairina mencetuskan gelombang kemarahan orang ramai, sekali gus mengangkat semula isu buli sekolah dan kebertanggungjawaban pihak berkuasa dalam menjatuhkan hukuman setimpal.
Peguam yang mewakili keluarga juga memohon supaya perbicaraan yang dijadualkan pada Rabu ini ditangguhkan.
