KOTA KINABALU, 18 Ogos: Naib Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN), Muhammad Zakaria @ Melipan Bin Rumansa berpandangan bahawa Sabah berpotensi besar untuk muncul sebagai hab baharu sukan permotoran di rantau ini, sekali gus menjadi solusi jangka panjang kepada masalah lumba haram di jalan raya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, yang baru-baru ini mengakui keputusan Malaysia menghentikan penganjuran Formula 1 (F1) dahulu merupakan kesilapan besar. Menurut Azhan, kos membawa semula F1 ke Malaysia kini mencecah lebih RM300 juta setahun, selain senarai menunggu yang panjang untuk masuk semula ke kalendar perlumbaan.

“Bagi Sabah, peluang ini harus dilihat dengan lebih luas. Jika Sabah International Racing Circuit diwujudkan, bukan sahaja nama Sabah akan dikenali di mata dunia, malah ia memberi ruang kepada anak muda untuk menyalurkan minat mereka secara sah, selamat dan profesional. Kita tidak boleh membiarkan mereka terus berlumba secara haram di jalan raya,” kata Melipan.

Pelaburan Jangka Panjang untuk Sabah

PERPADUAN menegaskan, pelaburan dalam sukan permotoran di Sabah bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi pelaburan jangka panjang dalam pembangunan ekonomi, pelancongan dan bakat belia.

“Bayangkan ribuan pelancong hadir menyaksikan perlumbaan antarabangsa, hotel penuh, pengangkutan bergerak, peniaga tempatan mendapat peluang. Dalam masa sama, bakat muda kita yang berbakat dalam arena motorsport akan dapat ruang untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya lagi.

Cadangan Konkret PERPADUAN:

1. Pembinaan Litar Bertaraf Antarabangsa di Sabah  sebagai pusat perlumbaan rasmi.

2. Program “Track Day” Belia yakni peluang peminat berlumba sah dengan kos minima.

3. Kempen “Ride Safe, Race Legal” bersama Polis & JPJ  alternatif kepada lumba haram.

4. Akademi Bakat Permotoran Sabah berperanan melatih pelumba profesional tempatan.

5. Perlumbaan Amatur Secara Berkala – dianjurkan di daerah dengan kawalan keselamatan.

“Sabah berpotensi besar menjadi pusat pertumbuhan sukan permotoran Asia Tenggara. Apa yang diperlukan hanyalah keberanian politik, sokongan kerajaan negeri dan kerjasama sektor swasta. Inilah masa untuk kita berubah daripada street illegal racing kepada world-class motorsport hub,” tegas Melipan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *