KOTA KINABALU, 17 Ogos: Persepsi bahawa rakyat Sabah membenci rakyat Semenanjung Malaysia adalah tidak benar. Hakikatnya, rakyat Sabah menolak sikap pemimpin utama di peringkat Persekutuan yang gagal menunaikan janji untuk mengembalikan hak-hak negeri sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

MA63 ditandatangani pada 9 Julai 1963 oleh empat entiti United Kingdom, Malaya, Sabah (Borneo Utara), dan Sarawak sebagai asas pembentukan Persekutuan Malaysia. Namun selepas lebih enam dekad, pelbagai klausa penting termasuk autonomi sumber, kuasa imigresen, pendidikan, dan hasil bumi masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut pemerhati politik tempatan, isu ini menjadi antara faktor utama yang akan mempengaruhi pola pengundian menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17). Ramai berpendapat mandat seharusnya diberikan kepada parti-parti lokal Sabah yang berani memperjuangkan kepentingan negeri, berbanding parti-parti yang dilihat terlalu bergantung kepada pengaruh politik dari Malaya.

“Rakyat Sabah tidak pernah ada masalah dengan masyarakat Semenanjung. Apa yang kami tuntut adalah keadilan dan kesaksamaan seperti yang termaktub dalam perjanjian asal pembentukan Malaysia,” kata seorang aktivis politik dari Kudat ketika ditemui.

Menjelang PRN17, mesej yang semakin lantang kedengaran ialah seruan agar rakyat meletakkan kepentingan generasi masa depan sebagai keutamaan. Parti-parti lokal Sabah dilihat sebagai harapan baharu, sementara GRS dan Warisan dikritik kerana gagal membuktikan keberanian memperjuangkan isu MA63 ketika bersama kerajaan Persekutuan.

The Borneo Report difahamkan beberapa NGO dan gerakan masyarakat sivil juga merancang siri wacana awam mengenai MA63 sepanjang tempoh kempen pilihan raya sebagai usaha meningkatkan kesedaran generasi muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *