The Borneo Report -Wartawan

SANDAKAN, 16 Ogos: PKR Sabah mengesahkan akan mengadakan rundingan rasmi dengan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam masa terdekat bagi membincangkan soal pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan pertembungan sesama rakan gabungan, selain memastikan kestabilan politik negeri dapat dipertahankan.

“Matlamat kita adalah untuk duduk semeja dan mencari formula terbaik. PKR mahu pastikan suara rakyat Sabah benar-benar diangkat, dan pada masa sama, memastikan kerajaan yang bakal terbentuk selepas PRN17 adalah stabil serta inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti Siri Lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini, hari ini.

Difahamkan, rundingan kerusi tersebut akan turut melibatkan perbincangan mengenai kerusi tradisi PKR, kawasan strategik yang dituntut GRS serta pendekatan kompromi di kawasan campuran. Ia dilihat sebagai ujian besar kepada hubungan politik antara PKR dan GRS menjelang PRN17.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *