
KOTA KINABALU, 16 Ogos: Naib Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN), Muhammad Zakaria @ Melipan Bin Rumansa, menyelar tindakan sesetengah penganjur perhimpunan Solidariti Aman “Justice For Zara” yang didakwa gagal memilih penceramah dengan bijaksana sehingga boleh mencetuskan propaganda dan provokasi berunsur politik.
Menurut beliau, keadilan untuk arwah Zara seharusnya menjadi fokus utama, bukannya dijadikan ruang untuk kepentingan politik sempit.
“Jika ada pemimpin parti yang hadir, tidak perlulah disebut-sebut atau ditonjolkan. Lebih baik mereka tampil sebagai orang biasa demi menjaga kesucian tujuan asal perhimpunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar menghormati keluarga mangsa dan memastikan setiap perhimpunan berkaitan dijalankan dengan penuh rasa tanggungjawab, tanpa mencemarkan nilai solidariti dan sensitiviti rakyat.
