
KOTA KINABALU, 14 OGOS 2025: Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) hari ini mengecam tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membelanjakan RM8.4 juta untuk pembelian lencana, sedangkan isu keselamatan dan infrastruktur sekolah terus membelenggu pelajar di seluruh negara.
Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 2,268 kes buli di sekolah dilaporkan pada tahun 2023, mencatatkan peningkatan hampir 60% berbanding tahun sebelumnya. PERPADUAN menegaskan bahawa angka ini membuktikan perlunya KPM mengutamakan pelaburan dalam langkah-langkah pencegahan seperti pemasangan CCTV di setiap sudut sekolah.
“RM8.4 juta boleh digunakan untuk pemasangan CCTV, membaiki kemudahan asas, dan memastikan pelajar berada dalam suasana pembelajaran yang selamat. Membelanjakan jumlah ini untuk tujuan kosmetik seperti lencana adalah satu bentuk pembaziran dana pendidikan,” tegas Presiden PERPADUAN dalam kenyataan medianya.
PERPADUAN turut menyeru KPM untuk menilai semula keutamaan perbelanjaan, memanfaatkan setiap sen dana pendidikan untuk kepentingan pelajar, dan memastikan keselamatan mereka menjadi agenda utama.
The Borneo Report akan terus mengikuti perkembangan isu ini dan mendapatkan respon rasmi daripada pihak KPM.
