KOTA KINABALU, 13 Ogos: Gelombang kebangkitan pengundi muda Sabah semakin jelas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN). Bukan sekadar menolak korupsi, mereka kini beralih kepada pemimpin muda, bersih, dan parti baharu yang dilihat mampu membawa pembaharuan termasuk Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN).

Penganalisis politik bebas, Dr. Azman Said, berkata generasi muda sudah muak dengan “politik kitar semula” yang hanya mengekalkan pemimpin lama sarat skandal. Mereka mahukan tenaga baharu yang bebas dari beban korupsi, kronisme dan janji kosong.

“Anak muda hari ini sudah celik maklumat. Mereka mahu tokoh muda, bersih, dan berani memperjuangkan hak rakyat. PKDM dan PERPADUAN dilihat mewakili semangat ini,” katanya.

Dengan hampir separuh daripada pengundi Sabah berusia 18 hingga 39 tahun, parti baharu berwajah segar berpotensi besar untuk menembusi kubu kuat lama. Media sosial kini menjadi senjata utama menggerakkan kempen anti-korupsi dan pro-pembaharuan ini.

“Kalau pemimpin lama fikir mereka kebal, tunggu saja PRN. Anak muda sudah bersedia menghukum mereka di peti undi dan memberi peluang kepada wajah-wajah baharu,” tambah Dr. Azman.

Bagi ramai belia Sabah, PRN kali ini bukan sekadar pilihan raya, ia medan untuk memutuskan sama ada Sabah terus terperangkap dalam kitaran lama atau melangkah ke era baharu yang dipimpin oleh pemimpin muda dan bersih.

One Response

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *