KOTA KINABALU, 13 OGOS 2025: Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) melahirkan rasa dukacita yang mendalam terhadap insiden tragis menimpa adik Zara, seorang pelajar asrama yang kehilangan nyawa dalam keadaan mencurigakan.

PERPADUAN berpandangan bahawa kejadian ini mendedahkan kelemahan ketara dalam aspek keselamatan dan pemantauan di institusi pendidikan, khususnya di kawasan asrama yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi pelajar.

Sehubungan itu, PERPADUAN dengan tegas mendesak Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Negeri Sabah, melaksanakan dasar wajib pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua kawasan strategik sekolah dan asrama di seluruh negara.

“Ini bukan lagi isu pilihan ini soal keselamatan dan nyawa anak-anak kita,” tegas kenyataan itu.

Ketiadaan sistem pemantauan yang berkesan telah menyebabkan banyak insiden buli, penderaan, gangguan seksual dan kejadian tragis berlalu tanpa bukti sahih, seterusnya menghalang proses mendapatkan keadilan.

PERPADUAN menegaskan, pemasangan CCTV akan membawa manfaat besar:

  1. Melindungi pelajar daripada ancaman buli, penderaan, dan jenayah.
  2. Melindungi guru, warden, dan staf daripada tuduhan tidak berasas.
  3. Menyediakan bukti kukuh untuk siasatan sekiranya berlaku insiden.
  4. Meningkatkan keyakinan ibu bapa, pelajar, dan warga sekolah terhadap keselamatan persekitaran pembelajaran.

PERPADUAN turut mencadangkan kerajaan mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus bagi pemantauan CCTV yang menyeimbangkan aspek privasi pelajar dengan keperluan keselamatan.

“Inilah masa untuk kerajaan membuktikan komitmen serius terhadap keselamatan pelajar. Jangan tunggu ada lagi ‘Zara’ yang menjadi korban kecuaian sistem,” tambah kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *