
KOTA KINABALU,8 7OGOS 2025: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menzahirkan bantahan terhadap cadangan pengambilan jururawat dari Indonesia bagi berkhidmat di hospital kerajaan Malaysia.
Menurut CUEPACS, langkah tersebut tidak wajar memandangkan masih ramai graduan kejururawatan tempatan yang belum mendapat penempatan atau pekerjaan dalam sektor awam mahupun swasta.
“Malaysia mempunyai ramai jururawat terlatih yang masih menganggur. Tindakan membawa masuk jururawat asing hanya akan menambahkan tekanan kepada peluang pekerjaan anak tempatan,” kata seorang jurucakap CUEPACS dalam satu kenyataan.
Bantahan ini turut disokong oleh suara rakyat yang mahu kerajaan memberikan keutamaan kepada tenaga kerja tempatan sebelum membuka ruang kepada pekerja asing dalam sektor profesional seperti perubatan dan kesihatan.
Isu ini dijangka terus mencetuskan perdebatan, khususnya dalam kalangan graduan kejururawatan dan kesatuan pekerja yang berharap agar dasar pengambilan pekerja asing diteliti semula secara menyeluruh.
