
TEMPASUK 8 OGOS 2025: Penghibur terkenal tanah air, John Samud, hari ini secara rasmi menawarkan diri sebagai bakal calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.9 Tempasuk dalam Pilihan Raya Negeri ke-17.
Dalam satu majlis ringkas bersama penyokong akar umbi, John Samud membentangkan manifesto rasmi PKDM DUN Tempasuk yang memberi tumpuan kepada peningkatan ekonomi petani dan penternak, pembangunan belia tempatan serta pengukuhan sektor pelancongan berasaskan pertanian.
Manifesto PKDM DUN N.9 Tempasuk:
1. Meningkatkan Pendapatan Petani dan Penternak
PKDM beriltizam untuk memperkasa golongan petani dan penternak melalui:
Pemelbagaian sumber hasil pertanian dan ternakan;
Memperjuangkan hak dan kebajikan petani serta penternak;
Pembinaan kilang berasaskan pertanian dan ternakan;
Penubuhan Yayasan Petani dan Penternak untuk bantuan dan sokongan jangka panjang.
2. Melahirkan Usahawan Muda di Setiap PDM
Bagi memperkasakan belia luar bandar:
Sekurang-kurangnya 10 usahawan muda akan dibimbing di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam bidang pertanian dan penternakan;
Golongan muda akan digalakkan mengembangkan bakat dalam AI, seni budaya, sukan dan permotoran.
3. Menjadikan Jelapang Padi Tempasuk sebagai Tarikan Pelancongan
PKDM akan memajukan Jelapang Padi N.9 Tempasuk sebagai produk pelancongan agro yang mampu menjana pendapatan alternatif untuk warga Tempasuk.
John Samud berkata, pengalaman beliau sebagai artis dan aktivis masyarakat telah membuka mata terhadap cabaran rakyat luar bandar.
“Saya turun ke gelanggang politik bukan untuk glamor. Saya turun untuk menyumbang, mendengar suara rakyat dan membawa perubahan yang benar-benar menyentuh kehidupan mereka.” – John Samud
Dengan slogan perjuangan “Bersatu Kita, Misompuru Tokou, Dembuaa Kiti”, PKDM yakin menawarkan satu pendekatan politik baru yang segar, bersih dan berakar dari rakyat.
