
KOTA BELUD: Naib Presiden Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN), Muhammad Zakaria @ Melipan Bin Rumansa menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta kerajaan negeri Sabah tidak boleh berlengah-lengah lagi dalam isu keselamatan pelajar, khususnya yang tinggal di kawasan asrama sekolah.
Beliau mengulas susulan kes tragis melibatkan pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahatir, yang mencetuskan kemarahan dan kesedihan rakyat seluruh negara.
“Keselamatan pelajar bukan perkara sampingan. Ia tanggungjawab utama negara.
Sudah tiba masanya kita wajibkan pemasangan CCTV secara menyeluruh di semua sekolah asrama di Malaysia, terutama di Sabah.
Cukup-cukuplah kita biarkan tragedi membuka mata jangan tunggu korban kedua,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Melipan turut mencadangkan agar anggota keselamatan seperti polis bantuan atau RELA ditempatkan di kawasan asrama sekolah secara tetap bagi melakukan rondaan berkala dan memantau pergerakan yang mencurigakan.
Menurut beliau, langkah-langkah seperti ini bukan sekadar respons terhadap kes tertentu, tetapi perlu dijadikan dasar tetap pendidikan nasional.
“Kami di PERPADUAN juga akan membawa cadangan ini secara rasmi ke peringkat dasar sekiranya mandat diberikan pada PRN-17 nanti.
Anak-anak kita perlu rasa selamat di tempat mereka belajar dan membesar, bukan hidup dalam ketakutan atau trauma,” tegasnya lagi.
Beliau turut menyarankan agar KPM mewujudkan saluran aduan pelajar yang mesra remaja, bebas tekanan, dan melindungi identiti pengadu, agar budaya takut bersuara dalam kalangan pelajar dapat dihapuskan.
The Borneo Report difahamkan beberapa NGO pendidikan dan komuniti ibu bapa juga menyokong penuh cadangan ini dan sedang merangka memorandum bersama untuk diserahkan kepada KPM dalam masa terdekat.