
KOTA BELUD, 7 OGOS 2025: Cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun yang sedang dikaji oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengundang reaksi tegas daripada Naib Presiden PERPADUAN, Muhammad Zakaria @ Melipan Bin Rumansa.
Dalam satu temubual bersama The Borneo Report, beliau menyifatkan cadangan tersebut sebagai “langkah yang menutup masa depan ribuan graduan muda,” khususnya dari Sabah dan kawasan luar bandar.
“Kita ada begitu ramai anak muda yang baru habis belajar, yang belum pernah dapat kerja tetap, yang menunggu peluang. Tiba-tiba kita dengar JPA nak panjangkan umur persaraan ke 65 tahun? Ini bukan kajian ini penghinaan kepada generasi muda,” tegas beliau.
Menurut Melipan, logik cadangan itu langsung tidak mengambil kira realiti pengangguran yang semakin parah di Sabah
“Saban tahun ribuan graduan keluar dari universiti. Tapi pintu masuk ke perkhidmatan awam masih dikunci rapat. Kalau umur persaraan ditambah lagi 5 tahun, siapa yang akan rugi? Anak muda kita! Anak petani, anak nelayan, yang harap satu kerja kerajaan untuk ubah nasib keluarga pun akan terus menunggu.”
Beliau turut mengkritik sikap sesetengah elit pentadbiran yang menurutnya “mahu kekal dalam sistem, walaupun sepatutnya sudah bersedia berundur dengan bermaruah.
“Kerajaan sepatutnya galakkan peremajaan pentadbiran. Bagi ruang kepada yang muda, yang bertenaga dan faham realiti hari ini. Bukan panjangkan usia kerana takut kehilangan kuasa atau elaun.”
Melipan turut menyarankan agar JPA dan kerajaan pusat menghentikan kajian ini segera dan sebaliknya memberi fokus kepada:
Menyediakan laluan khas untuk anak muda Borneo ke dalam perkhidmatan awam;
Menambah peluang pekerjaan tetap melalui pengambilan baharu;
Memberi latihan dan insentif persaraan kepada mereka yang hampir tamat perkhidmatan.
“Kita mahu sistem yang adil. Jangan kerana nak jaga kepentingan segelintir, seluruh masa depan generasi muda Sabah digadaikan. Ini bukan isu pentadbiran semata ini isu keadilan sosial.”
Temubual ini menggariskan pendirian PERPADUAN yang semakin lantang menyuarakan isu-isu berkaitan anak muda dan peluang pekerjaan, menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.