
KOTA KINABALU: Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa tiada pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.
Menurut beliau, rundingan kerusi antara ketiga-tiga gabungan itu hampir dimuktamadkan, dengan pendekatan ‘khemah besar’ menjadi keutamaan bagi memastikan kestabilan politik di Sabah terus terjamin.
“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan lalu di mana pertandingan tiga atau empat penjuru hanya menguntungkan pihak lawan yang mahu melihat Sabah terus terpecah-belah. PH, BN dan GRS akan memastikan satu lawan satu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PH Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Anwar menegaskan, kerjasama antara gabungan tersebut bukan semata-mata soal pembahagian kerusi, tetapi demi memastikan suara rakyat Sabah didengar dengan lebih kuat di peringkat persekutuan.
Beliau turut mengingatkan bahawa formula kerjasama ini juga mengambil kira kepentingan Sabah sebagai rakan setara (equal partner) dalam Persekutuan Malaysia.
“Isu pembangunan luar bandar, pemulangan hasil negeri, pendidikan dan autonomi pentadbiran Sabah akan menjadi agenda utama dalam kerjasama ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai calon Ketua Menteri, Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan secara muafakat antara pimpinan gabungan selepas PRN, dengan keutamaan diberikan kepada individu yang mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sementara itu, sumber dalaman memberitahu rundingan kerusi antara PH, BN dan GRS kini berada di peringkat akhir dengan beberapa kawasan panas seperti Penampang, Putatan, Sepanggar dan Tuaran menjadi tumpuan perbincangan.
PRN Sabah dijangka diadakan selewat-lewatnya penghujung tahun ini selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lebih awal berikutan ketidaktentuan politik dalam gabungan kerajaan negeri sedia ada.
